Tumpuan :
Sukan

City kalah lagi, jatuh ke tangga ke-6

FOTO: Reuters

BIRMINGHAM: Aston Villa terus menambah derita Manchester City apabila menewaskan lawan itu 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Villa Park, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Villa melonjak ke tangga kelima liga, manakala City yang dibimbing Pep Guardiola terjerumus ke tempat keenam.

Jaringan Villa hadir menerusi penyerang muda berbakat Jhon Duran dan bekas pemain City, Morgan Rogers, sekali gus menambah derita buat juara bertahan itu yang kini mengalami sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan terakhir di semua kejohanan.

Villa hampir membuka tirai jaringan seawal 20 saat permainan bermula sebelum Duran meletakkan pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-16.

Bermula dengan hantaran cantik Youri Tielemans kepada Rogers, penyerang itu dengan bijak melorongkan bola kepada Duran yang tidak mensia-siakan peluang untuk mencetak gol.

Suasana di Villa Park kembali bergema pada minit ke-65 apabila Rogers sekali lagi menjadi wira, menyempurnakan hantaran kapten John McGinn sebelum merembat deras ke gawang lawan.

Phil Foden berjaya merapatkan jurang dengan gol pada masa kecederaan susulan kesilapan dilakukan pemain pertahanan Villa, Lucas Digne, namun ia tidak mampu menghalang Villa mengutip tiga mata berharga.

Villa kini mengumpul mata penting dalam usaha merebut slot Eropah, manakala tekanan terus memuncak buat Guardiola untuk mengubah nasib pasukannya yang semakin goyah. —REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini