KUALA LUMPUR: Calon Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj menarik diri daripada bertanding jawatan itu pada kongres pemilihan yang akan berlangsung 15 Februari ini.
Christopher menjelaskan keputusannya untuk tidak bertanding pada pemilihan kali ini sudah dibuat pada Oktober lalu selepas hampir lapan tahun berkhidmat sebagai EXCO FAM.
Beliau yang sebelum ini memikul tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM menjelaskan keputusan itu diambil bagi memberi fokus kepada kerjayanya selain membuka peluang kepada individu lain untuk bertanding merebut jawatan EXCO badan induk itu.
“Ia bukanlah satu keputusan yang mudah tetapi jalan terbaik untuk saya fokus sepenuhnya kepada kerjaya hakiki. Maka, tarikh 15 Januari lalu adalah hari terakhir saya menunaikan tanggungjawab hadir ke mesyuarat EXCO.
“Pengunduran diri bagi setiap orang adalah wajar, namun bagi sesetengah orang juga perpisahan pastinya sukar terutama dengan tempoh perkhidmatan yang panjang ini, kenalan sudah ibarat keluarga.
“Sepanjang berkhidmat, saya berikan jiwa dan raga saya sehabis baik buat Malaysia dan kini tiba masa saya membuka peluang buat rakan yang lain mengambil alih perjuangan demi negara ini.
“Tanggungjawab ini sememangnya indah di mata kasar, namun ia datang dengan cabaran yang amat besar demi negara tercinta. Pergi tidak bermaksud terus menghilang, saya masih di sini sekiranya diperlukan atau memerlukan sebarang bantuan,” katanya.
Bukan sahaja di peringkat FAM, Christopher turut memainkan peranan besar dalam kejohanan peringkat antarabangsa apabila menggalas tugas selaku pegawai media pada Piala Dunia 2018 dan 2022 selain bertindak sebagai Pengarah Media Piala Dunia Bawah 17 (B-17) Tahun 2023.
Bekas pengurus skuad B-16 negara itu juga adalah Ahli Jawatankuasa Media Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sehingga 2027.
Selain itu, Christopher turut berterima kasih kepada Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan barisan EXCO FAM atas peluang, sokongan dan pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang berkhidmat dengan badan induk itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.