Tumpuan :
Sukan

Chong Wei calon terbaik ganti Choong Hann?

Datuk Lee Chong Wei dianggap calon terbaik bagi menggantikan Wong Choong Hann. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Legenda perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dilihat sebagai calon terbaik menggantikan tempat Wong Choong Hann sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan yang Choong Hann akan meninggalkan ABM sejak mula memegang jawatan berkenaan pada 2018 dan pada masa ini mereka sedang dalam pencarian calon sesuai sebagai pengganti.

Justeru itu, bagi legenda beregu lelaki negara, Tan Boon Heong secara peribadi merasakan calon terbaik untuk menggalas tugas bagi membawa arena badminton negara ke satu tahap lebih baik adalah Chong Wei.

“Datuk Lee Chong Wei. Harap dia akan masuk untuk bantu pasukan kebangsaan kita,” kata Boon Heong ketika ditanya media mengenai siapakah pengganti paling sesuai untuk meneruskan tugas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM selepas majlis pelancaran rasmi kejohanan Piala 3V3 TotalEnergies x Li-Ning 2023 di sini, hari ini.

“Saya rasa perubahan lebih baik daripada tiada (perubahan). Perubahan akan membuka peluang, kalau tak tukar, mungkin tidak ke mana. Kalau tukar baharu masih ada peluang, jadi mungkin orang baharu nanti nampak masalah kita.

“Oleh itu, mungkin boleh buat perubahan dan ia menjadi lebih baik.”

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keputusan pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia untuk berehat seketika daripada menyertai kejohanan, Boon Heong menganggap ia satu keputusan yang baik namun pemain di ranking ke-11 dunia itu tidak seharusnya ‘gantung raket’ terlalu lama.

“Saya rasa dia berhenti sementara itu, bukan sesuatu yang tak bagus… bagus juga kerana dia tak ada keyakinan diri dan keputusan dia setakat ini tak begitu bagus sangat. Namun saya rasa tak boleh rehat terlalu lama kerana ada Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

“Pandangan saya, rehat untuk dua atau tiga kejohanan itu sudah OK kerana pada Ogos nanti ada Kejohanan Dunia, jadi kena fokus semula. Untuk menjadi pemain di kelompok terbaik, kena ambil tekanan itu,” katanya.

Loading...
Terkini