![](https://media.buletintv3.my/2025/02/c38x3oQE-BULETIN-TV3-AD-15.jpg)
BEIJING: Sebuah roket pembawa baru China yang direka untuk menghantar lebih banyak satelit melakukan penerbangan sulungnya semalam, sekaligus meningkatkan strategi Beijing untuk menyaingi kehadiran besar jutawan Amerika, Elon Musk, di orbit rendah Bumi melalui SpaceX.
Roket Long March 8A yang berkapasiti angkut berat itu dilancarkan pada jam 5.30 petang (waktu tempatan) dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di pulau Hainan di selatan China.
Menurut Kumpulan Sains dan Teknologi Angkasa China (CASC), Long March 8A adalah versi diubah suai bagi roket Long March 8 berkapasiti angkut sederhana yang memulakan penerbangan pada tahun 2020.
Ia mempunyai kapasiti muatan yang dipertingkatkan sebanyak tujuh tan, membolehkan China menghantar kelompok satelit yang lebih besar ke orbit rendah dan sederhana Bumi dalam satu pelancaran.
Peningkatan lain termasuk peringkat atas yang menjimatkan bahan api dan meningkatkan jangka hayat satelit.
Tahap atas adalah pemecut roket yang dipasang antara kenderaan pelancaran utama dan muatan utama di atasnya.
China tahun ini merancang untuk mempercepatkan bilangan satelit yang diletakkannya di orbit bawah Bumi, dengan puluhan pelancaran dijadualkan ketika Beijing berusaha untuk menyaingi jumlah satelit Starlink.
Starlink, yang dimiliki oleh SpaceX Musk, kini mempunyai hampir 7,000 satelit aktif di orbit. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.