MILAN: Giorgio Chiellini percaya Inter ‘mempunyai kelebihan’ menjelang pertembungan separuh akhir Liga Juara-Juara yang dinanti-nantikan berdepan saingan Milan.
Gergasi Serie A dalam pertarungan yang menjanjikan satu perlawanan menarik untuk ditonton yang mana juara akan berdepan sama ada Manchester City atau juara bertahan, Real Madrid.
Juventus mara ke dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara semasa Chiellini bersama kelab itu dengan pemain pertahanan itu beraksi ketika mereka tewas Real Madrid pada 2017 dan terlepas aksi pada 2015 ketika berdepan Barcelona kerana cedera.
Menjelang perlawanan penting itu, kapten Itali yang memenangi Euro 2020 memilih Inter yang sudahpun menjulang trofi itu tiga kali untuk menang.
“Perlawanan derby Milan ini akan menjadi separuh akhir yang seimbang tetapi jika saya bertaruh saya akan memilih Inter,” katanya.
“Saya rasa Nerazzurri mempunyai kelebihan kerana saya melihat mereka lebih kuat dalam perlawanan seperti ini.”
Pemain berusia 38 tahun itu – kini bermain dengan francais MLS Los Angeles FC – turut bersuara mengenai satu lagi perlawanan separuh akhir antara Madrid dan City yang memburu kemenangan pertama mereka di bawah kendalian Pep Guardiola.
“Ramalan saya untuk perlawanan akhir tahun ini ialah Inter-Manchester City,” tambah Chiellini.
“Di sini juga, kami berada dalam kesukaran kerana pasukan separuh akhir yang lain seperti Real Madrid juga sangat kuat.”
“Tetapi saya fikir akhirnya Manchester City akan mara juga ke final jadi saya akan bertaruh €1 (RM4.9) lagi pada perlawanan akhir Inter-Manchester City.”