Tumpuan :
Sukan

Chelsea ungguli Liga Konferens selepas menang besar

Pemain Chelsea, Christopher Nkunku (tengah) meraikan gol ketujuh bersama rakan sepasukan Joao Felix (kiri) dan Kiernan Dewsbury-Hall pada aksi Liga Konferens UEFA berdepan FC Noah di Stamford Bridge, London, awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

LONDON: Chelsea membenam kelab Armenia, FC Noah 8-0 ketika mereka tidak menunjukkan sebarang belas kasihan di Stamford Bridge awal pagi tadi untuk kekal berada di puncak carta Liga Konferens UEFA, dengan Joao Felix dan Christopher Nkunku masing-masing menyumbang dua gol.

Penyokong tuan rumah hanya menanti hingga minit ke-12 bagi gol pembukaan apabila Tosin Adarabioyo menanduk masuk susulan sepakan sudut sebelum gol kedua hadir seminit kemudian dengan Marc Guiu merampas bola daripada kaki pemain lawan sebelum merembat masuk.

Satu lagi gol tandukan menerusi tendangan sudut hadir menerusi Axel Disasi selepas 18 minit dan tiga minit kemudian, Felix menyambut hantaran Enzo Fernandez sebelum mengelirukan penjaga gol.

Mykhailo Mudryk melencongkan satu bola cantik ke penjuru gol enam minit sebelum rehat untuk menjadikan kedudukan 5-0 dan Felix meledak gol keduanya dua minit kemudian.

Selepas enam gol pada babak pertama, Chelsea mengendurkan asakan tetapi pemain Perancis, Nkunku berjaya menyumbat dua gol, menampan masuk bola muntah selepas percubaan awalnya diselamatkan pada minit ke-69 sebelum menyempurnakan sepakan penalti tujuh minit kemudian.

Chelsea mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan dan mendahului carta menerusi perbezaan gol di depan lima pasukan lain yang turut memiliki rekod sempurna. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini