LONDON: Chelsea mencatat perbelanjaan tertinggi berbanding kelab-kelab lain di seluruh dunia sepanjang tahun ini.
The Blues menduduki tangga teratas senarai perbelanjaan dengan jumlah 451 juta pound (RM2.64 bilion) dan terdapat enam lagi kelab Liga Perdana Inggeris tersenarai dalam kelompok 10 teratas.
Chelsea berbelanja hampir 1 bilion pound (RM5.86 bilion) sejak ketibaan pemilik baharu, Todd Boehly, dengan pemain seperti Moises Caicedo dan Enzo Fernandez bernilai melebihi 100 juta pound (RM585.66 juta) seorang.
Mykhailo Mudryk juga dibeli dengan harga tinggi, mencecah 88 juta pound (RM515.38 juta) pada Januari lalu.
Wesley Fofana dan Marc Cucurella pula memakan belanja melebihi 130 juta pound (RM761.36 juta).
Mereka mendapat pulangan hanya sekitar 142.85 juta pound (RM836.61 juta) dengan menjual Kai Havertz, Mason Mount dan Mateo Kovacic.
Kelab Arab Saudi, Al-Hilal di tangga kedua apabila membelanjakan 282 juta pound (RM1.65 bilion) untuk menandatangani Neymar, Ruben Neves, Kalidou Koulibaly, Aleksandar Mitrovic, Sergej Milinkovic-Savic, Malcom dan Bono.
Mereka hanya mendapat 1 juta pound (RM5.86 juta) dengan menjual Gustavo Cueller ke Al-Shabab.
Arsenal menghuni tangga ketiga hasil pembelian Declan Rice, Havertz, dan Jurrien Timber pada jendela perpindahan musim panas ini.
The Gunners juga meminjam David Raya dari Brentford, namun perjanjian ini susulan daripada pembelian Jorginho dan Leandro Trossard pada Januari.
Jumlah perbelanjaan keseluruhan skuad kendalian Mikel Arteta adalah 228 juta pound (RM1.34 bilion) tetapi turut mendapat pulangan hasil penjualan Granit Xhaka dan Matt Turner.
Real Madrid di tangga keempat selepas menandatangani Jude Bellingham, Arda Guler, dan Fran Garcia.
Bournemouth menduduki tangga kelima diikuti kelab Arab Saudi, Al-Ahli, manakala baki empat pasukan lagi adalah Newcastle, Manchester United, Liverpool dan Aston Villa. – AGENSI