comscore
Tumpuan :
Sukan

Chelsea, Newcastle lepasi pusingan ketiga Piala FA Inggeris

Pemain Chelsea, Raheem Sterling (kiri) menyumbat gol ketiga menerusi sepakan percuma ketika menentang Preston pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris di Stamford Bridge, London awal pagi tadi. – Foto

LONDON: Chelsea menang selesa 4-0 ke atas kelab Liga Kejuaraan, Preston North End pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris awal pagi tadi.

Penyerang Armando Broja, yang jarang bermain musim ini disebabkan kecederaan menjaringkan gol pembukaan Chelsea pada minit ke-58 menerusi tandukan padu susulan hantaran silang Malo Gusto.

Ia sekaligus berjaya memenuhi cabaran jurulatih Mauricio Pochettino supaya pemain Albania itu menggunakan peluang yang diberikan kepadanya.

Thiago Silva, yang baru masuk sebagai pemain gantian, menanduk kencang berikutan sepakan sudut Cole Palmer pada minit ke-66 untuk gol kedua The Blues, yang tampak mula mengganas selepas babak pertama yang hambar.

Raheem Sterling melencongkan sepakan percuma bagi gol ketiga dan lima minit sebelum tamat Enzo Fernandez melengkapkan jaringan, sekalipun dia terpaksa menunggu lama sebelum VAR mengesahkan gol itu dan mampu untuk meraikannya.

Pertandingan piala domestik adalah satu-satunya peluang Chelsea untuk memenangi kejuaraan musim ini apabila pasukan itu terdampar di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Awal pagi Rabu, mereka akan berdepan Middlesbrough pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris. – REUTERS

 

Pemain Newcastle United, Joelinton (tengah), Alexander Isak (dua dari kanan) dan Miguel Almiron meraikan gol pertama mereka menerusi jaringan sendiri pemain Sunderland, Danny Ballard pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris di Stadium of Light, Sunderland lewat malam tadi. – Foto: Reuters

Satu lagi kelab EPL, Newcastle United menamatkan penantian 13 tahun untuk menewaskan musuh tradisi Sunderland ketika dua gol Alexander Isak mencetus kemenangan 3-0 pada lewat malam tadi.

Dalam pertembungan jiran tetangga pertama Tyne and Wear sejak tahun 2016, Newcastle melenyapkan cabaran Sunderland berikutan gol sendiri Danny Ballard pada babak pertama dan dua gol Isak selepas rehat di Stadium of Light.

Newcastle kalah enam daripada tujuh pertemuan terakhir dengan Sunderland, namun dengan persembahan tersusun menjurus kepada kemenangan pertama jiran tetangga buat Black Cats sejak menang 1-0 pada 2011.

Selepas empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan, jurulatih Newcastle, Eddie Howe berharap pertembungan jiran tetangga itu menjadi detik “pengubah musim” untuk mengubat kegagalan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara dan persembahan buruk dalam EPL.

Loading...
Terkini