comscore
Tumpuan :
Sukan

Chelsea belasah Boro untuk ke final Piala Liga

Cole Palmer (kiri) menjaringkan dua gol dalam kemenangan ke atas Middlesbrough pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga di Stamford Bridge, London. – FOTO: Reuters

LONDON: Chelsea membelasah Middlesbrough 6-1 di Stamford Bridge, untuk mara ke final Piala Liga, sekali gus memadamkan defisit apabila tewas 0-1 pada perlawanan separuh akhir pertama.

The Blues meledak empat kali sebelum rehat menerusi gol sendiri Jonny Howson, diikuti jaringan Enzo Fernandez, Axel Disasi dan Cole Palmer.

Palmer dan Noni Madueke menambah derita Middlesbrough di akhir-akhir permainan untuk membawa skuad kendalian Mauricio Pochettino ke aksi penentuan di Wembley bulan depan.

Chelsea bakal bertemu pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool atau Fulham pada 25 Februari, tetapi ada isyarat positif daripada anak buah Pochettino.

“Hari ini kami amat berkesan di depan gol. Kami kehilangannya ketika perlawanan pertama dan amat kecewa. Hari ini kami sangat bagus dan saya rasa itulah perbezaannya,” kata Pochettino.

Bekas pengendali Tottenham itu kini mempunyai peluang untuk memenangi trofi pertamanya dalam kancah bola sepak England dan yang pertama buat Chelsea di bawah pemilik baharu sejak tahun 2022.

Boro kendalian Michael Carrick yang menghuni tangga ke-11 Liga Kejuaraan, gagal mempertahan kelebihan satu gol daripada perlawanan pertama dan bertambah parah apabila Howson tertampan bola ke gawang sendiri.

Selepas bergelut di laman sendiri sejak Pochettino membimbing pasukan, Chelsea kini menang tujuh perlawanan berturut-turut di Stamford Bridge. – AGENSI

Loading...
Terkini