PARIS: Pelumba berbasikal terkemuka, Mark Cavendish memilih Kriterium Tour de France di Singapura sebagai perlumbaan terakhir sebelum mengumumkan persaraannya.
Perkembangan itu dikongsikan Cavendish menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.
“Ahad (esok) akan menjadi perlumbaan terakhir dalam kerjaya profesional berbasikal saya,” tulis pelumba Britain berusia 39 tahun itu yang memegang rekod kemenangan peringkat terbanyak di Tour de France dengan 35 kemenangan.
“Saya sangat mencintai sukan ini. Saya sentiasa ingin memberi impak dalam sukan ini dan kini saya sudah bersedia untuk melihat apa yang menanti di babak seterusnya dalam hidup saya,” kata pelumba dari Isle of Man itu.
Cavendish mencipta sejarah di Tour de France pada Julai lalu apabila dia memecahkan rekod Eddy Merckx yang bertahan sejak 1975.
“Saya bertuah kerana telah melakukan apa yang saya cintai selama hampir 20 tahun, dan kini saya boleh mengatakan bahawa saya telah mencapai segala yang saya mampu dalam sukan berbasikal,” jelasnya.
Cavendish memenangi gelaran dunia perlumbaan lebuh raya pada 2011 dan pingat perak omnium di Sukan Olimpik 2016.
Sepanjang dua dekad, dia telah memenangi 165 perlumbaan, termasuk 17 peringkat di Giro d’Italia dan tiga di Vuelta a Espana.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.