LONDON: Moises Caicedo merayu kepada Brighton untuk menerima bayaran perpindahan yang akan menjadi rekod kelab ketika Arsenal menunjukkan minat mendapatkan pemain tengah itu.
Pendahulu Liga Perdana itu dilaporkan menawarkan £60 juta (RM (RM315.72 juta) namun ditolak oleh Brighton.
“Saya berbangga kerana dapat membawa masuk rekod perpindahan untuk Brighton yang membolehkan mereka melabur semula dan membantu kelab untuk terus berjaya,” tweet Caicedo.
“Peminat meletakkan saya di hati mereka dan mereka sentiasa berada di dalam hati saya jadi saya harap mereka dapat memahami mengapa saya mahu mengambil peluang hebat ini,” katanya.
Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi bagaimanapun berhasrat mengekalkan pemain berusia 21 tahun itu sekurang-kurangnya sehingga akhir musim.
“Dia seorang lelaki yang baik. Dia hanya fokus kepada Brighton. Saya harap dia boleh kekal bersama kami sehingga akhir musim kerana pada pendapat saya ia adalah penyelesaian terbaik untuknya dan untuk kami,” kata De Zerbi.
“Saya bercakap dengannya pada hari Rabu dan memberitahunya pendapat saya. Saya rasa ia sentiasa sukar untuk berubah sepanjang musim. Untuk cara kami adalah penting baginya kekal empat bulan lagi bersama kami.”
Brighton pun menjual penyerang Belgium, Leandro Trossard kepada Arsenal dengan harga £27 juta (RM142.07 juta) semasa jendela perpindahan Januari lalu.
Namun Caicedo turut dikaitkan dengan pertemuan semula dengan bekas jurulatih Graham Potter di Chelsea namun ia terikat kontrak bersama Brighton sehingga 2025.
“Saya faham apabila seorang pemain mempunyai kemungkinan untuk menukar pasukan dia akan pergi ke pasukan yang lebih besar. – HARIAN METRO