Oleh: Fariz Zolkarnain
KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia di Kejohanan Badminton Masters Thailand 2023 terhenti di peringkat suku akhir apabila pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tumpas sebentar tadi.
Berdepan pemain pengalaman Hong Kong, Angus Ng Ka Long, Tze Yong yang turun selaku pilihan kelapan nampak bergelut di set pertama sebelum tewas 14-21.
Masuk set kedua, Tze Yong tampil dengan permainan lebih kemas dan saling kejar-mengejar mata.
Namun hasrat pemain berusia 22 tahun itu untuk mengheret lawan ke set penentuan tidak kesampaian apabila sekali lagi tumpas 20-22 dalam permainan yang mengambil masa selama 43 minit.
Selepas ini Tze Yong yang diketepikan daripada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 akan berehat seketika sebelum kembali menyertai Kejohanan All England dari 14 hingga 19 Mac depan.