comscore
Tumpuan :
Sukan

BWF kaji semula dasar, prosedur bantuan kecemasan

Zhang Zhi Jie meninggal dunia selepas rebah di gelanggang semasa Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan mengkaji semula secara menyeluruh dasar dan prosedur berhubung bantuan kecemasan susulan kematian tragis pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie.

Zhi Jie secara tiba-tiba rebah di gelanggang ketika aksi menentang pemain Jepun, Kazuma Kawano dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, kelmarin.

Pemain berusia 17 tahun itu menerima bantuan kecemasan daripada pasukan perubatan kejohanan di gelanggang sebelum dikejarkan ke hospital.

Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam kelmarin akibat serangan jantung.

Susulan insiden malang itu, tular rakaman video perlawanan yang menunjukkan pasukan perubatan lambat untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di gelanggang.

Bagaimanapun, jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Bruto Happy ketika sidang media semalam mempertahankan tindakan pasukan perubatan apabila menjelaskan mereka perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang.

BWF dalam satu kenyataan, hari ini, berkata badan induk itu akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mengkaji semula prosedur bantuan kecemasan bersama Badminton Asia dan PBSI.

“BWF sedang menunggu laporan rasmi daripada Badminton Asia dan Jawatankuasa Penganjur untuk mengkaji sama ada prosedur perubatan yang betul diikuti dalam memberikan bantuan kecemasan kepada Zhang apabila dia rebah di gelanggang,” kata kenyataan BWF.

“Menurut garis panduan, doktor kejohanan di atas arahan pengadil bertanggungjawab untuk bertindak terhadap situasi kecemasan di gelanggang termasuk serangan jantung dan dalam senario ini perlu memberikan bantuan kecemasan sehingga perkhidmatan perubatan yang betul boleh disediakan.

“Apabila melaksanakan garis panduan ini, ia ditekankan bahawa semua kakitangan perlu bersedia pada setiap masa untuk bertindak memberikan bantuan perubatan yang diperlukan secepat mungkin.

“Selepas penilaian kami selesai, kami akan menentukan sama ada aspek tertentu dalam garis panduan perlu diubah.”

Kejohanan Badminton Remaja Asia berada di bawah bidang kuasa Badminton Asia tetapi BWF mempunyai garis panduan dan arahan perubatan secara keseluruhan yang boleh digunakan oleh badan pengelola lain (serantau atau kebangsaan) yang menganjurkan kejohanan yang diiktiraf oleh BWF.

Bagaimanapun, terpulang kepada setiap badan pengelola untuk menentukan cara ia melaksanakan protokol dan amalan perubatan di tempat kejadian semasa kejohanan dianjurkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini