Tumpuan :
Sukan

BWF ada sebab kukuh beri pengiktirafan kepada Lee Chong Wei – Hannah Yeoh

Oleh: Naim Fitri Abu Bakar

BALIK PULAU: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mempunyai sebab yang kukuh sebelum memberi pengiktirafan kepada lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pengiktirafan yang diberikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF 2023 adalah berdasarkan statistik dan juga data daripada BWF.

“Saya ada di sana semasa beliau (Chong Wei) menerima anugerah dan pengiktirafan tersebut bersama Lin Dan.

“Kalau kita lihat data dan statistik, saya percaya BWF mempunyai sebab yang kukuh sebelum mereka memberi pengiktirafan tersebut dan kita memang bangga dengan pencapaian beliau,” katanya kepada pemberita selepas Separuh Maraton Balik Pulau 2023 di Kompleks Sukan Balik Pulau, hari ini.

Hannah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan bekas jaguh badminton Indonesia, Taufik Hidayat, yang seolah-olah tidak bersetuju terhadap pengiktirafan yang diberikan kepada Chong Wei.

Menerusi satu video yang dikeluarkan Taufik mempersoalkan kewujudan nama Chong Wei dalam senarai itu dan turut mengakui bahawa Lin Dan yang sepatutnya layak mendapat pengiktirafan itu.

Pada 26 Mei lalu, Chong Wei dan Lin Dan dimasyurkan dalam Dewan Kemasyhuran B-W-F 2023 atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton dengan muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka.

Penguasaan Chong Wei dalam arena badminton menyaksikan beliau telah meraih 47 gelaran Siri Super Jelajah Dunia B-W-F sepanjang 19 tahun penglibatannya selain memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu ialah atlet badminton paling berjaya Malaysia, dengan memperoleh tiga pingat perak Sukan Olimpik di Beijing, London dan Rio serta tiga gelaran naib juara kejohanan dunia.

Sementara itu, seramai 4,000 peserta hadir menyertai Separuh Maraton Balik Pulau 2023 di Kompleks Sukan Balik Pulau.

Loading...
Terkini