KUALA LUMPUR: Buat pertama kali selepas 16 tahun Malaysia tidak mempunyai wakil pemanah lelaki beraksi di temasya Sukan Olimpik.
Menjelang edisi Paris 2024 bermula bulan depan, harapan tiga pemanah negara untuk meraih slot saat akhir ke temasya sukan berprestij dunia itu tidak kesampaian apabila masing-masing terkandas di pusingan awal acara recurve individu kejohanan ArcheryIn Paris Final Olympic Qualifier di Antalya, Turkiye hari ini.
Pemanah ranking ke-197 dunia, Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli yang melepasi pusingan pertama dengan cemerlang dikejutkan pada pusingan kedua selepas tumpas 2-6 di tangan pemanah muda berusia 16 tahun dari Cyprus Thoma Christos yang menghuni ranking ke-483.
Pemanah muda negara yang berusia 16 tahun Muhammad Danish Amsyar Norazlan turut terkandas di pusingan kedua selepas kecundang di tangan pemanah ranking ke-50 dunia dari Bangladesh, Md Hakim Ahmed Rubel 2-6.
Manakala seorang lagi pemanah muda berusia 19 tahun Muhammad Syafiq Busthamin tewas 5-6 kepada wakil Azerbaijan, Mahammadali Aliyev di pusingan ketiga.
Sabtu lepas, skuad recurve lelaki negara dibarisi ketiga-tiga pemanah itu tewas kepada Indonesia 6-0 seawal pusingan pertama sekali gus meleburkan harapan untuk menyaksikan Malaysia membuat kemunculan semula dalam acara itu selepas turut gagal melayakkan diri pada edisi Tokyo 2020.
Malaysia sebelum ini tidak pernah terlepas daripada mempunyai wakil pemanah lelaki beraksi di Sukan Olimpik dalam acara individu ataupun berpasukan sejak edisi Beijing 2008.
Jumaat lepas, trio recurve wanita negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh mencipta sejarah apabila buat julung kali melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas mara sehingga ke final pada kejohanan sama di Antalya.
Mereka tewas tipis 4-5 kepada trio China pada aksi final sekali gus membawa pulang pingat perak.
Terdahulu Ariana berjaya meraih tiket ke Paris 2024 dalam acara recurve individu wanita selepas memenangi pingat emas Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, November lepas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.