Tumpuan :
Sukan

Bryan sokong penambahbaikan RTG, mahu penerjun terbaik ke LA28

Bekas Pengarah Teknikal Terjun, Akuatik Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Teknikal Terjun, Akuatik Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas menyambut baik usaha menambah baik aspek pemilihan atlet dalam Jawatankuasa Road To Gold (RTG) dan berharap langkah itu membawa kejayaan kepada atlet negara.

Beliau melihat cadangan baharu itu sebagai peluang untuk pasukan terjun memilih atlet terbaik bagi kejohanan utama, termasuk Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Contohnya ke Sukan Olimpik sebelum ini yang layak akan dapat tempat untuk negara. Kita juga boleh hantar sesiapa yang terbaik untuk wakili Malaysia.

“Jadi, harap bukan layak secara individu tetapi juga layak melalui slot menerusi acara tersebut supaya kita dapat sentiasa memilih atlet terbaik sepanjang proses itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sebelum ini memaklumkan akan melakukan penstrukturan semula RTG bagi memperkasa misi memenangi pingat emas Olimpik.

Walaupun tidak lagi bersama skuad terjun negara, Bryan yakin atlet Malaysia bersedia memberikan yang terbaik di LA28 selepas prestasi suram di Paris 2024.

“Perkara paling mustahak adalah mentaliti. Atlet perlu sentiasa mahu maju, meningkat, dan menang kerana itulah sikap yang harus ada dalam diri penerjun serta semua pihak,” ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Kehormat Renang Malaysia (MAS), Andy Low Siak San mengesahkan Bryan akan meninggalkan pasukan negara selepas menerima tawaran daripada sebuah negara Asia Timur bagi membantu pembangunan atlet di sana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini