Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Teknikal Terjun, Akuatik Malaysia (MAS) Bryan Nickson Lomas mengharapkan pembaharuan positif kepada program atlet negara hasil rancangan rombakan Jawatankuasa Road To Gold (RTG).
Idea penstrukturan semula diumum oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh semalam bagi memperkasa dan merealisasikan impian memenangi pingat emas di Sukan Olimpik disambut bekas penerjun negara itu dengan cadangan baharu terhadap kem terjun.
“Contohnya ke Olimpik sebelum ini yang layak akan dapat tempat untuk negara. Kita juga boleh hantar sesiapa yang terbaik untuk wakili Malaysia, jadi harap bukan layak secara individu tetapi layak secara mungkin slot menerusi acara tersebut agar boleh kita sentiasa memilih atlet terbaik sepanjang proses tersebut lah.”
Atlet terjun kebangsaan juga katanya telah bersedia untuk mengharungi cabaran di tahun 2025 dengan keazaman baharu untuk menebus kembali prestasi kurang memberangsangkan sebelum ini lebih-lebih lagi menjayakan misi Los Angeles (LA) 2028.
“Saya rasa paling mustahak ialah dari segi mentaliti, supaya mereka boleh letakkan mentaliti yang sentiasa nak kedepan, nak meningkat dan nak menang itu mentaliti yang penerjun dan semua pihak perlu ada,” jelas beliau yang berpengelaman mewakili negara di Sukan Olimpik 2004, 2008 dan 2012.
Bryan dalam masa sama mengakui sudah melepaskan peranannya sebagai Pengarah Teknikal Terjun badan induk akuatik negara minggu lalu setelah ditawarkan tugasan penting bersama pasukan kebangsaan sebuah negara di Asia Timur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.