comscore
Tumpuan :
Sukan

Brentford sedia tambah tekanan ke atas Ten Hag esok

Brentford kendalian Thomas Frank akan bertandang ke Old Trafford menentang Manchester United esok. / Erik ten Hag (Dalam Kotak)

LONDON: Pengendali Brentford, Thomas Frank berkata, Erik ten Hag menerima terlalu banyak kritikan ketika dia sedang melakukan persiapan untuk menambah tekanan ke atas bos Manchester United itu.

Ten Hag sedang bergelut mengelak daripada dipecat selepas permulaan paling buruk United dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Skuad kendalian Frank bertandang ke Old Trafford esok dengan kedudukan tiga anak tangga di atas United, yang berada di tangga ke-14 dengan hanya dua kemenangan daripada tujuh aksi pertama liga.

Kekalahan di tangan Brentford akan menambahkan lagi tekanan ke atas Ten Hag, atau mungkin semakin hampir dipecat, tetapi Frank yakin pengendali dari Belanda itu tidak wajar dinilai seteruk itu.

“Dia berdepan kritikan yang begitu berat. Sebagai ketua jurulatih, saya memahami situasi dialaminya. Saya rasa kritikan ini terlampau dahsyat. Dia seorang jurulatih yang bagus, dia menang dua trofi dalam dua musim.

“Tetapi saya memahami keadaannya: jika pasukan menang, ketua jurulatih sangat hebat, jika pasukan kalah, ketua jurulatih sangat teruk. Sedangkan ia mungkin di tengah-tengah.

“Ia bukan hanya kerana ketua jurulatih, atau pemain-pemain, atau peminat, atau lembaga pengarah, ia adalah kombinasi semua perkara ini,” kata Frank.

Frank bagaimanapun akan mengabaikan keputusan-keputusan United sebelum ini, yang belum menang dalam lima perlawanan terakhir mereka, menjelang pertemuan di Old Trafford.

“Sudah banyak kali saya mengalaminya dalam karier saya, kami berdepan pasukan yang tewas tiga perlawanan berturut-turut tetapi mereka bangkit cemerlang.

“Saya tidak memberi perhatian kepada prestasi. Saya percaya kami boleh pergi ke mana-mana dan menewaskan sesiapa sahaja, tetapi saya juga sedar, apabila ke Old Trafford berdepan Man United – sebuah kelab besar dengan pemain-pemain ternama – mereka adalah pasukan pilihan.

“Tetapi kami perlu ke sana dengan pendekatan dan pemikiran yang kami boleh menang,” katanya. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini