SAO PAULO: Penghormatan mencurah-curah dari seluruh Brazil untuk legenda bola sepak Pele, ketika negara itu mengadakan tiga hari berkabung buat pemain yang dianggap paling hebat sepanjang zaman selepas kematiannya pada usia 82 tahun.
Rakyat Brazil dengan penuh emosi berpusu-pusu ke hospital Sao Paulo tempat ‘O Rei’ (Raja) meninggal dunia dan ke Stadium Vila Belmiro di Santos, bandar tempat mendiang beraksi dalam sebahagian besar kariernya – dan tempat lokasi majlis penghormatan yang akan diadakan Isnin ini.
Ia akan diikuti perarakan pengebumian Selasa depan secara besar-besaran melalui bahagian tenggara bandar itu, kemudian upacara pengebumian.
Presiden, Jair Bolsonaro mengisytiharkan tiga hari berkabung, ketika ucapan takziah tidak putus-putus daripada bintang bola sepak, orang kenamaan seluruh dunia dan peminat dari semua lapisan masyarakat.
Di kampung halaman Pele, bandar tenggara Tres Coracoes, pelukis, Marcelo Cazone dengan bangganya mempamerkan gambar yang ditandatangani Pele ketika dia masih kanak-kanak dan ketika itu dia sanggup ponteng sekolah untuk mengekori idolanya di sekitar bandar itu pada 1980-an.
“Saya menghargainya sehingga hari ini,” katanya kepada AFP.
“Kematian beliau amat dahsyat bagi seluruh bandar ini, bagi seluruh Brazil, bagi seluruh dunia.”
Di Santos, Caroline Fornari yang berusia 46 tahun adalah antara mereka yang berpusu-pusu ke stadium tempat Pele mula memukau dunia.
“Beliau sebahagian daripada sejarah kami. Ayah saya adalah peminat tegar, dia bercakap mengenai Pele sejak saya kecil. Pele adalah kebanggaan terbesar kami,” katanya mengenai pemenang Piala Dunia tiga kali – satu-satunya pemain dalam sejarah yang mencapai kejayaan itu.