SAO PAULO: Brazil berada dalam situasi tidak normal, bergelut dengan tekanan dan ketidaktentuan ketika mereka bersiap sedia bagi aksi genting kelayakan Piala Dunia menentang Chile dan Peru, tanpa bantuan pemain utama yang diketepikan kerana kecederaan.
Selepas kalah empat daripada lima aksi kelayakan menerusi beberapa siri persembahan buruk, pemenang Piala Dunia lima kali itu menghuni tangga kelima kedudukan dengan 10 mata, di depan Venezuela menerusi perbezaan jaringan.
Paraguay dan Bolivia satu mata di belakang dan satu lagi kesilapan Brazil boleh menyaksikan mereka terkeluar daripada posisi layak dan risiko terlepas aksi Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah mereka.
Pengurus Dorival Jr, yang dilantik Januari lalu selepas pasukan itu diurus dua jurulatih sementara ketika FA Brazil gagal mendapatkan khidmat Carlo Ancelotti dari Real Madrid, hanya menang dua perlawanan kompetitif.
Susulan kempen Copa America yang hambar, apabila mereka tersingkir di tangan Uruguay pada suku akhir, Brazil menang tipis di laman sendiri ke atas Ecuador bulan lalu.
Namun mereka kembali merudum beberapa hari kemudian dengan satu lagi persembahan buruk, tumpas 1-0 kepada Paraguay yang hanya menyumbat satu gol dalam tujuh aksi kelayakan terakhir.
Persembahan tidak konsisten yang membelenggu Brazil sejak mereka melepaskan jurulatih Tite susulan tumpas penentuan sepakan penalti di tangan Croatia pada suku akhir Piala Dunia berterusan dengan pasukan itu hanya menang empat daripada 14 perlawanan terakhir mereka.
Dorival terpaksa membuat lima pertukaran dalam skuadnya bagi pertembungan dengan Chile di Santiago pagi esok dan menentang Peru di Brasilia Rabu depan, selepas penjaga gol Alisson, pertahanan Bremer, Eder Militao dan Guilherme Arana serta penyerang Vinicius Jr semuanya mengalami kecederaan.
Semalam, jurulatih itu membuat kejutan apabila mengumumkan penyerang Botafogo, Igor Jesus akan bermula dalam kesebelasan utama menentang Chile bagi panggilan sulungnya ke skuad kebangsaan, meninggalkan pemain remaja Real Madrid, Endrick di bangku simpanan.
“Apa yang saya lihat gerakan Igor amat menarik, Endrick masih menyesuaikan diri dengan kelab baharunya, dia tiba di kelab terbesar dalam dunia bola sepak dengan banyak persaingan,” kata Dorival kepada wartawan. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.