ZENICA: Bosnia bangkit untuk meraih mata kedua mereka dalam kempen Liga Negara-Negara UEFA ketika mereka mengikat pasukan simpanan Belanda 1-1 awal pagi tadi pada perlawanan yang tidak memberi banyak makna.
Ermedin Demirovic menyamakan kedudukan pada minit ke-67, ketika Bosnia memburu keputusan positif dalam usaha memberikan penyerang veteran Edin Dzeko penamat terbaik pada perlawanan antarabangsa terakhirnya namun keputusan seri itu melebarkan rentetan tanpa menang mereka kepada 12 perlawanan dalam tempoh 13 bulan.
Brian Brobbey meletakkan Belanda di depan pada minit ke-24 di Stadium Bilino Polje selepas jurulatih Ronald Koeman menurunkan barisan muka baharu bagi aksi terakhir Kumpulan A3.
Belanda sudah memastikan tangga kedua kumpulan itu dan tempat ke suku akhir Mac depan menerusi kemenangan 4-0 ke atas Hungary Sabtu lalu manakala penyingkiran Bosnia dari divisyen utama Liga Negara-Negara disahkan selepas tumbang 7-0 di tangan Jerman pada hari sama.
Brobbey menanduk masuk gol pertama antarabangsanya susulan hantaran lintang Noa Lang untuk memberikan Belanda kelebihan ketika rehat babak pertama.
Dzeko, kapten Bosnia berusia 38 tahun melakukan penampilan ke-139 dan terakhir buat negaranya.
Rembatan kencangnya, yang ditumbuk penjaga gol Belanda, Mark Flekken, menjurus kepada gol penyamaan dengan bola muntah itu ditampan masuk Demirovic.
Koeman menurunkan kesebelasan berbeza daripada yang memulakan aksi menentang Hungary di Amsterdam Sabtu lalu.
Ia termasuk penampilan ketiga buat penyerang Bournemouth, Justin Kluivert, lebih enam tahun selepas penampilan terakhirnya.
“Kami perlu mengambil pengajaran daripada perlawanan ini. Ia bukannya perlawanan paling mudah dan malangnya kami tidak dapat menamatkan kempen dengan kemenangan,” kata kapten Belanda, Stefan de Vrij.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.