BANGKOK: Skuad boling negara meneruskan pencapaian cemerlang di Kejuaraan Remaja Asia ke-21 dengan memenangi pingat gangsa dalam acara empat sepasukan wanita.
Gandingan Adelia Nur Irwan Syazalee, Nurul Anis Nabila Mohd Nizam, Anis Hannani Romzi dan Nur Hazirah Ramli menampilkan aksi baik menerusi lima permainan membolehkan mengumpul 4524 jatuhan pin keseluruhan.
Juara menjadi milik Singapura dengan catatan 4876 mata, diikuti pasukan Korea Selatan yang menaiki podium perak.
Kesemua empat pemain berkenaan layak beraksi di pusingan Masters esok diiringi tiga pemain lelaki Mohd Hariz Adlan, Tsen Fan Yew dan Muhd Danial Abu Samah.
Saingan yang bermula sejak 4 Julai lalu menyaksikan kem negara sudah mengumpul satu pingat emas, dua perak serta empat gangsa untuk menduduki tangga kedua keseluruhan di belakang Korea Selatan menerusi kutipan tiga emas dan empat gangsa.