comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: The Bos Gaurus boleh guna Stadium Perak jumpa Kedah Darul Aman

IPOH: Kerosakan lampu limpah yang berlaku di Stadium Perak, Ipoh telah berjaya dibaiki sepenuhnya menjelangnya perlawanan antara Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA FC) esok.

Menurut Pengarah Kanan Teknikal Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Khairul Anuar Lodin pihaknya telah membuat pengukuran pencahayaan lux dan telah melepasi syarat minimum yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) iaitu 1200 lux.

“Keperluan bagi pemasangan lampu, luxnya adalah sebanyak 1200 lux telah mencapai malahan ada sebahagian daripadanya melebihi daripada 1200 lux,  jadi untuk itu saya bagi pihak pengurusan stadium memaklumkan bahawa lampu limpah yang berada di Stadium Perak ni telah pun sesuai untuk digunakan pertandingan yang akan diadakan pada 25 Februari yang akan datang,” ujar Khairul dalam sidang media selepas meninjau sendiri keadaan lampu limpah di Ipoh malam tadi.

Jelasnya, hasil kerjasama dan usaha daripada pihak MBI dan kontraktor, kerja-kerja pembaikan ini berjaya diselesaikan seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata MBI telah memulakan kerja-kerja pembaikan kabel serta komponen yang terjejas pada 17 Februari lalu dan siap sepenuhnya pada 22 Februari.

Katanya, komponen yang diganti termasuklah ballast 2000 Watt sebanyak 18 unit, kabel PVC dan juga bulb 2000 Watt sebanyak 15 unit yang mencecah kos lebih seratus ribu ringgit.

Terdahulu, media melaporkan, hampir keseluruhan kabel telah dipotong dan komponen lampu limpah telah dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Siasatan pihak polis mendapati, tiada unsur sabotaj berkaitan insiden tersebut dan MBI kini telah mempertingkatan kawalan keselamatan bagi mengelak perkara sama berulang.

The Bos Gaurus yang menggunakan venue berkenaan sebagai gelanggang tuan rumah dijadual menerima kunjungan KDA jam 9 malam esok dalam aksi sulung Liga Super.

Loading...
Terkini