Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Skuad Gajah Perang risau aksi di Bukit Jalil

Aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sentiasa menjadi sesuatu yang sukar buat pasukan lawan ketika menentang Malaysia. – FOTO: NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Jika kata-kata pengurus dan jurulatih Thailand diambil kira, Harimau Malaya berdepan tugas getir untuk cuba melepasi halangan juara bertahan itu pada separuh akhir Piala AFF tahun ini.

Begitupun ada sekelumit nada bimbang daripada pengurusnya, Nualphan Lamsam yang menyedari suasana gegak-gempita dengan penyokong Ultras Malaya yang membingitkan keadaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil mampu menjejaskan usaha mereka pada aksi pertama Sabtu ini.

Perlawanan kedua separuh akhir edisi ke-14 kejohanan utama Asia Tenggara itu akan dilangsungkan di Stadium Thammasat, Bangkok pada 10 Januari depan.

“Ia pasti satu perlawanan yang sukar buat kami. Sering kali ada banyak tekanan apabila kami berdepan Malaysia di gelanggang mereka di Bukit Jalil di depan 90,000 penyokong. Thailand tidak pernah mengalahkan Malaysia di stadium itu jadi kami mesti bersedia menghadapi perlawanan ini secara fizikal dan mental,” katanya semalam.

“Ketika peraturan gol di tempat lawan digunakan pada kejohanan ini, kami perlu cuba menjaringkan gol di Bukit Jalil. Ini amat penting apabila kami menentang mereka sekali lagi pada separuh akhir kedua di Stadium Thammasat,” katanya.

Thailand muncul juara Kumpulan A menerusi perbezaan gol di depan Indonesia, menang besar 5-0 ke atas Brunei, membenam Filipina 4-0, seri 1-1 dengan Indonesia dan mengesahkan juara kumpulan dengan kemenangan 3-1 ke atas Kemboja.

Nualphan menyedari ia cabaran yang perlu ditempuhi Thailand tetapi matlamat mereka adalah untuk mempertahankan trofi sekali gus meraih kejuaraan buat kali ketujuh, negara dengan rekod kejuaraan terbanyak pada kejohanan yang bermula 27 tahun lalu.

“Ini jelas satu cabaran besar buat Thailand tetapi sasaran kami tetap sama iaitu untuk mempertahankan kejuaraan. Jadi kami perlu melepasi halangan ini terlebih dahulu. Saya boleh beri jaminan kami akan berjuang dan memberikan yang terbaik di Malaysia,” katanya.

Jurulatih Thailand, Mano Polking berkata beliau mahu anak buahnya berakhir sebagai juara Kumpulan A untuk beraksi separuh akhir kedua di laman sendiri.

“Sasaran kami jelas iaitu untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya yang dijangka mempertaruhkan dua penyerang berpengalaman Teerasil Dangda dan Adisak Kraisorn bagi merobek pintu gol Malaysia yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Jadi anak buah Kim Pan Gon perlu mempersembahkan yang terbaik sebaik mungkin bagi mengelak pasukan bergelar Gajah Perang itu meledak gol di Bukit Jalil Sabtu ini yang boleh menjadi bekalan mereka bagi aksi separuh akhir kedua.

Loading...
Terkini