Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Shinji Kagawa sarung jersi nombor 8 bersama Cerezo Osaka

Foto – SNTV / NHK

TOKYO: Selepas hampir 13 tahun melebarkan kariernya di Eropah, pemain Jepun Shinji Kagawa kembali ke tanah airnya untuk menyertai Cerezo Osaka.

Pemain tengah itu diperkenalkan secara rasmi kelab hari ini dengan turut diberikan jersi bernombor 8 tertera namanya.

“Tiada keraguan kami akan melakukan lebih baik lagi kali ini berbanding tahun lalu.”

“Saya tahu banyak mengenai kelab ini dan bagaimana mereka bermain dengan menyaksikan sendiri perlawanan mereka dari musim lalu dan saya sedang menyesuaikan diri bagaimana untuk dapat melengkapkan skuad seterusnya mencipta pembaharuan” kata Shinji Kagawa semasa sidang media pengenalannya.

Bekas pemain kebangsaan Jepun itu menyertai Borussia Dortmund yang menjadi tempatnya mencipta nama apabila dua kali menjuarai Bundesliga sewaktu dibimbing pengendali Liverpool ketika ini, Jurgen Klopp.

Kagawa kemudian menjadi pemain Jepun pertama menyarung jersi Manchester United yang menjadikannya orang Asia pertama menjaringkan hatrik di Liga Perdana Inggeris ketika menentang Norwich City pada Mac 2013.

Memenangi dua trofi Liga Perdana, pemain berusia 33 tahun itu kemudian menyambung khidmatnya di Sepanyol, Greece dan Belgium mewakili Real Zaragoza, PAOK disusuli Sint-Truidense yang merupakan kelab terakhir sebelum kembali ke negaranya.

Cerezo Osaka merupakan kelab pertama profesionalnya pada 2006 dan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak di saingan J2.

Perpindahan Kagawa secara percuma itu menjadi tumpuan untuk melihat sejauh mana pasukan tersebut mampu menamatkan liga tertinggi kali ini selepas menduduki tangga kelima pada 2022.

“Saya amat teruja apa yang bakal dipersembahkan olehnya (Kagawa) apabila menyarung jersi Cerezo Osaka di Liga J dan banyak mana beliau mampu membantu pasukan memenangi perlawanan,” jelas Presiden kelab Hiroaki Morishima.

Loading...
Terkini