comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Sang Kenari berlepas ke Eropah sambung persiapan pra musim

Foto NSTP – Skuad KDA FC bergambar bersama penyokong di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar

ALOR SETAR: Selepas memulakan persiapan menuju pembukaan Liga Malaysia di tanah air, Kedah Darul Aman (KDA FC) bertindak lebih agresif apabila bertolak hari ini ke Turkiye menyambung persediaan.

Benua Eropah menjadi pilihan pasukan yang dimiliki Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar itu dengan harapan ia memberikan inspirasi dan suntikan baharu kepada Sang Kenari semasa pra musim di Antalya hingga 15 Februari ini.

“Latihan di Turkiye ini penting kerana Sang Kenari memerlukan satu suntikan inspirasi baru untuk mendapatkan semula tempo dan gaya sebagai pasukan yang dihormati.

Bila ada usaha lebih sikit, moga-moga hasilnya akan lebih baik.

“Ini juga kali pertama Sang Kenari ke Eropah. Inilah ruang dan peluang serta pentas yang didambakan oleh setiap pasukan dan bukan senang untuk menyusun satu ‘trip’ ke Eropah dengan bajet KDA FC yang sederhana di musim 2023.

Kita doakan hanya yang terbaik kepada Sang Kenari.”

“Saya juga bercadang untuk berada di Antayla mulai 12 hingga 15 Februari jika semua kerja-kerja saya siap sebelum 11 Februari ini. Seronok dapat menyantuni Sang Kenari di bumi dan iklim Antayla,” katanya.

Mohd Daud juga menyeru seluruh penyokong Kedah untuk menyaksikan semua aksi pramusim yang membabitkan pasukan dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Ukraine.

“Jangan lupa juga untuk melanggan siaran bagi menonton keempat-empat perlawanan persahabatan ini sambil menyumbang kepada dana kelab kita,” katanya.

Kedah akan memulakan aksi Jelajah Turkiye musim ini dengan menentang kelab FC Nasaf dari Uzbekistan di Ekodizayn 1 pada 9 Februari ini dan diikuiti kelab dari Kazakhstan iaitu FC Shakhter Karagandy di Limak Sports Center pada 10 Februari.

Sementara dua lagi aksi, membabitkan kelab FK Maktaaral dari Kazakhstan di Limak Sports Center dan kelab dari Ukhraine iaitu FC Metalist Kharkiv di Ekodizayn 1 masing-masing pada 12 dan 14 Februari. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini