Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin
PETALING JAYA: Kempen Piala Malaysia 2022 akan menjadi pertandingan pertama tempatan yang tidak akan menggunapakai peraturan jaringan di tempat lawan.
Ketetapan itu diputuskan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MF) menerusi pengumuman hari ini yang menyatakan pemansuhan peraturan tersebut dalam kejohanan kalah mati domestik berkuat kuasa serta merta.
“Berdasarkan Artikel 2.6.3(iv)(vi) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia di mana ia adalah peraturan semasa untuk menentukan kelab pemenang dalam pertandingan kalah mati merangkumi peraturan Away Goal.
Pada 24 Jun 2021, UEFA telah membuat keputusan untuk memansuhkan peraturan Away Goal bermula musim 2021/2022 sementara pada 1 Ogos 2022 pula, AFC telah memaklumkan keputusan untuk memansuhkan peraturan Away Goal bermula musim hadapan,” kenyataan tersebut menjelaskan.
Pelarasan dengan peraturan dan perubahan terkini Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu bermakna perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit permainan timbal balik akan dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit berikutnya.
Penentuan sepakan penalti akan mengambil tempat sekiranya kedudukan tidak berubah bagi mencari pemenang.
Sepak mula pertama Piala Malaysia edisi kali ini dijadual pada 26 dan 27 Oktober.