Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Norizam puas hati sumbangan Cifuentes, sedia selidik hantaran media sosial pemain itu

FOTO: TRW Kelantan FC / Facebook

KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman enggan peminat terus berteka-teki soal status salah seorang pemainnya, Miguel Cifuentes yang dikhabarkan bakal dipancing kelab lain menjelang pintu perpindahan kedua saingan Liga Super.

Norizam berkata, tiada apa yang perlu dijelaskan berkenaan hantaran yang dibuat pemain kelahiran Sepanyol itu di dalam sosial Instagram, yang seakan-akan memberi bayangan bakal berpindah ke kelab lain.

Beliau juga menganggap perkara itu biasa bagi pemain kerana tiada pemain yang kekal dalam mana-mana pasukan.

FOTO: TRW Kelantan FC / Facebook

Katanya sehingga kini Cifuentes yang dipanggil ‘Cifu’ telah memberi permainan yang baik, semua pemain dan pasukan juga harmoni dengan pasukan juga berjaya capai sasaran 10 teratas setakat ini.

“Itu saya tak tahu lagi apa yang dia maksudkan. Saya kena tanya dia sendirilah sebab saya tak tahu apa dia maksudkan tu sebab kita kena faham dalam dunia bola sepak ini tak ada satu pun akan kekal dalam satu pasukan dan kita harapkan setiap pemain, bukan saja Cifu beri terbaik untuk Kelantan FC lah,” kata Norizam kepada media selepas majlis Memeterai Perjanjian Rakan Strategik Sani Ekspress Sdn Bhd dan TRW Kelantan FC di Kota Seribong, Kota Bharu, Kelantan semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Sani Ekspress Sdn Bhd, Wan Mohd Iskandar Datuk Salleh.

Cifu sebelum ini kerap memuat naik gambar aksi perlawanan Kelantan FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) selain daftar masuk bertanda Johor Southern Tiger sejak empat hari lalu.

Tindakan itu menimbulkan tanda tanya peminat The Red Warriors kerana Cifu antara watak penting yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang lima perlawanan Liga Super yang sudah diharungi Sang Kijang Merah.

Dalam majlis berkenaan, TRW menerima tajaan bernilai 1.2 juta ringgit daripada Sani Ekspress Sdn. Bhd. yang menjadi pengangkutan rasmi pasukan.

Perjanjian membabitkan tajaan sebuah bas dua tingkat yang akan digunakan sepanjang musim 2023.

Wan Mohd Iskandar berkata, kerjasama itu bakal menjadi perintis syarikat berkolabrasi dalam industri sukan.

“Kami sendiri juga 99 peratus adalah peminat TRW, dengan bas bertapak di Kota Bharu, jadi ini kerjasama yang amat baik dan kita harapkan pasukan akan terus cemerlang dalam perlawanan akan datang,”jelas Wan Mohd Iskandar.

Loading...
Terkini