MUNICH: Jerman tidak menunggu lama apabila sudah melantik jurulatih baharu membimbing pasukan kebangsaan itu.
Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) hari ini mengesahkan pelantikan Julian Nagelsmann sebagai pengendali Die Mannschaft menggantikan Hansi Flick yang dipecat 10 September lalu.
Pengumuman tersebut menyaksikan individu berusia 36 tahun itu menjadi jurulatih termuda Jerman dalam tempoh 97 tahun sejak Otto Nerz menjawat tugasan sama di usia 34 tahun pada 1926.
Nagelsmann bagaimanapun mengikat kontrak singkat kali ini iaitu selama 10 bulan.
Beliau sebelum ini melatih Bayern Munich namun dilepaskan Mac lalu selepas kurang dua tahun bersama juara Jerman itu.
Perlawanan pertama menantinya ialah aksi persahabatan antarabangsa menentang Amerika Syarikat di tempat lawan 14 Oktober depan disusuli Mexico tiga hari berikutnya juga disana.
Jerman menjadi tuan rumah EURO 2024 dari Jun hingga Julai tahun depan dengan saingan tersebut antara tugasan tumpuan utama.
“Kami mempunyai Kejohanan Eropah di negara kami sendiri. Itu sesuatu yang istimewa – sesuatu yang berlaku setiap beberapa dekad.
Saya mempunyai keinginan besar untuk menyahut cabaran ini. Kami akan menjadi kumpulan yang erat tahun depan.” kata Nagelsmann.