comscore
Tumpuan :
Sukan

Bola Sepak: Kim Pan Gon letak jawatan, Pau Marti Vicente dilantik pemangku ketua jurulatih

KELANA JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon sah melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Perkara itu diumumkan sendiri Pan Gon pada sidang media khas yang diadakan di Wisma FAM jam 2 petang tadi.

“Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.

“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya.

“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA dan pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Republik Korea, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka.

“Namun malangnya kita tidak layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026. Tapi dengan tiga kemenangan, satu seri, dua kekalahan dan 10 mata, kita telah menyediakan satu asas dan momentum bagi menyemai harapan untuk masa depan bola sepak Malaysia yang cerah,” kata Pan Gon.

Pan Gon, 55 tahun mengikat kontrak selaku ketua jurulatih Harimau Malaya pada 21 Januari 2022, menggantikan Tan Cheng Hoe.

Tugasan pertamanya adalah pada kejohanan tiga penjuru, menyaksikan Malaysia mengatasi Filipina 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Singapura, 22 Mac 2022.

Dan paling sensasi, jurulatih yang berasal dari Korea ini turut menamatkan penantian Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Asia 2023 secara merit.

Skuad Harimau Malaya yang beraksi dalam kumpulan E bagaimanapun berdepan kesukaran untuk mendapatkan mata selepas tewas kepada Jordan dan Bahrain.

Namun, tampil dengan aksi cukup bertenaga ketika mengikat Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3.

Pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia mengakhiri saingan pusingan kedua di tempat ketiga kumpulan D, mengumpul 10 mata hasil 3 kemenangan, satu seri dan tewas dua kali.

Sekaligus terlepas peluang untuk meneruskan cabaran pusingan ketiga kelayakn Piala Dunia 2026, dan hanya meneruskan kempen bagi kelayakan Piala Asia 2027.

Dan ketika itu, desas-desus Pan Gon mahu meninggalkan skuad kebangsaan sudah mula kedengaran.

Secara keseluruhan, Pan Gon telah mengendalikan 35 perlawanan bersama Harimau Malaya, mencatat 19 kemenangan, 7 keputusan seri dan hanya tewas 9 kali.

Memulakan tugas ketika Malaysia berada di ranking ke 154 dunia pada Januari 2022, Pan Gon berjaya membawa skuad Harimau Malaya berada di posisi terbaik ke 130 dunia pada November 2023 dan ketika ini Malaysia berada di kedudukan ke 135 dunia.

“Dengan setulus hati, saya sangat berterima kasih kepada semua yang telah menyokong saya dan pasukan kebangsaan.

“Harapan saya, FAM, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukan negara bagi mencapai matlamat seterusnya iaitu layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.

“Kini sebagai ‘separuh’ rakyat Malaysia, saya akan sentiasa menyokong pasukan bola sepak Malaysia dan berbangga dengan Malaysia ke mana sahaja saya pergi,” jelas Pan Gon.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi berkata, kekosongan tersebut akan diisi oleh penolong ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente dari Sepanyol sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan sambil dibantu seorang lagi penolong ketua jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan.

“Untuk pengetahuan semua, Pan Gon telah berjumpa dengan pihak pengurusan FAM bagi menyatakan hasrat beliau untuk memendekkan tempoh kontraknya.

“Ia disusuli dengan beberapa lagi perjumpaan selepas itu yang mana kita cuba untuk memujuk beliau supaya mempertimbangkan semula hasratnya itu tetapi pada akhirnya, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Eksekutif FAM menghormati keputusan beliau dan bersetuju untuk melepaskan Pan Gon dengan persetujuan bersama, biarpun beliau masih berbaki kontrak dengan FAM sehingga Disember 2025.

“Sudah tentu ini satu berita sedih dan duka untuk kita semua kerana Pan Gon telah berjaya membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023, selain ranking FIFA kita juga meningkat naik di sepanjang dua tahun setengah beliau membimbing pasukan kebangsaan. Kita amat berasa kehilangan beliau,” kata Datuk Wira Yusoff pada sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

turut hadir pada sidang media tersebut ialah seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram; Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman; Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan juga Pan Gon sendiri.

Datuk Wira Yusoff juga memaklumkan bahawa staf-staf kejurulatihan lain iaitu penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun akan terus kekal membantu Pau Marti, 41, dan Elavarasan dalam skuad Harimau Malaya berdasarkan kontrak masing-masing.

“Sudah pasti tugasan pertama Pau Marti selaku pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya ialah untuk mengemudi pasukan bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September ini dengan disertai tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina.

“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa di bawah kendalian Pau Marti ini terutama menjelang Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada November dan Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan,” jelas beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini