GONG BADAK: Perlawanan persahabatan antarabangsa diantara Malaysia dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok mungkin menemukan dua pasukan berbeza taraf dari segi ranking, tetapi wakil Oceania itu seakan-akan mempunyai muslihat tersendiri ketika berdepan Harimau Malaya.
Barisan Harrison Kamake itu hadir ke Kuala Terengganu dengan motivasi baik selepas mengikat Singapura 2-2 di seberang tambak dalam aksi persahabatan antarabangsa pertama ketika ini, sekaligus mengintai satu lagi kejutan.
“Kami sememangnya mahu beraksi dalam permainan yang baik esok. Selepas menentang Singapura, pendekatannya ialah bermain dengan kekuatan tersendiri dan sudah bersedia menyaingi Malaysia. Keputusan perlawanan bergantung kepada bagaimana kami bertindak dalam permainan,” kata jurulatihnya Kamake dalam sidang media pra perlawanan di Terengganu.
Mereka sudah boleh menjangkakan laluan sukar bakal ditempuhi di negara ini lebih-lebih Malaysia baharu merakam kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon lima hari lalu.
Namun barisan yang diberikan jolokan ‘Kapuls’ ini mengakui tidak sabar berentap dengan tuan rumah di Gong Badak jam 9 malam esok, selepas dua kali bangkit mengikat negara jiran di Stadium Nasional, Kallang.
“Saya rasa pasukan ini adalah gabungan daripada pemain senior dan muda tetapi seperti jurlatih beritahu, liga kami masih belum bermula. Ini yang dipilih daripada sebelumnya semasa menyertai pertandingan dengan kebanyakan kami bermain disitu. Saya percaya dengan rakan sepasukan, kami juga mempunyai kualiti dan akan memberikan yang terbaik,” ketua pasukan Raymond Gunemba.