comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK – JDT perkukuh kedudukan teratas

Pemain JDT, Arif Aiman ketika meraikan jaringan gol bersama pasukan pada Perlawanan Liga Super JDT menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor. – FOTO: NUR AISYAH MAZALAN/ NSTP

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan persembahan memukau apabila mudah mengatasi Sabah FC dengan kemenangan 4-0.

Ia sekaligus menyaksikan JDT terus mengukuhkan kedudukan di persada liga selepas merakam kemenangan keenam berturut-turut.

Paling mengujakan, penampilan Arif Aiman Hanapi dan Endrick Dos Santos yang terpaksa diketepikan pada aksi persahabatan Harimau Malaya minggu lalu.

Ternyata kelibat kedua-dua pemain itu memberi impak buat skuad Harimau Selatan yang bertindak mengasak ke kubu Sabah FC di awal permainan apabila Arif Aiman cuba melakukan tekanan terhadap benteng lawan manakala Dos Santos menggerakkan jentera tengah.

Kelibat Arif Aiman dalam kesebelasan utama tidak sia-sia berpunca daripada bola umpanan Fernando Forestieri pada minit ke-20 menyaksikan pemain lincah sayap kanan JDT itu bertindak menggelecek Rizal Ghazali sebelum merembat bola kencang menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat untuk meletak tuan rumah mendahului 1-0.

Penguasaan JDT dalam perlawanan itu begitu ketara apabila menjelmakan gol kedua pada minit ke-39 selepas bola umpanan Diogo Luis Santo tepat kepada Juan Muniz yang melakukan rembatan lencong pada jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Khairul Fahmi.

Ketinggalan 0-2 pada perlawanan itu, Sabah FC ibarat hilang punca untuk menyusun kebangkitan bagi memburu gol malah kelibat Darren Lok dalam pasukan itu bagai sekadar penumpang apabila gagal berfungsi selaku penyerang skuad Badak sepanjang babak pertama.

Bersambung babak kedua, corak permainan kedua-dua pasukan tampak berintensiti tinggi apabila masing-masing kerap beri tekanan di posisi tengah malah ada ketika bermain secara agresif

Skuad Badak mula mengatur gerakan dalam usaha merapatkan jurang gol sering dikecewakan oleh kekentalan benteng JDT yang diketuai kapten Jordi Amat bergandingan mantap bersama Feroz Baharudin.

Ketika aksi berbaki sembilan minit untuk ditamatkan gerakan menarik daripada Arif Aiman bertindak melorongkan bola kepada pemain gantian, Syahmi Safari yang meledakkan rembatan kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Khairul.

Malah skuad Harimau Selatan terus mengganas apabila mencipta gol keempat pada minit ke-89 selepas pemain gantian, Corbin Ong melorongkan bola buat Forestieri yang akhirnya menjaringkan gol buat dirinya sekali gus memastikan kemenangan bergaya 4-0 memihak JDT.

Loading...
Terkini