JOHOR BAHRU: Juara 10 kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengucapkan perpisahan kepada sebilangan pemain dan staf mereka termasuk jurualtih Esteban Solari.
Jaguh tanah air itu melakukan pengumuman mengejutkan petang tadi, dengan menyatakan faktor penjimatan sebagai punca mereka melepaskan jurulatih, pemain dan kakitangan.
“Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40% disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.
Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.” menurut kenyataan yang dipaparkan di laman sosial rasmi pasukan.
Solari yang dibawa masuk sebagai pengendali pada 1 Disember 2022 juga terpaksa dikorbankan bersama-sama jurulatih kecergasan skuad juara Piala Dunia Argentina Rodrigo Barrios dan staf kejurulatihan lain Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero.
Antara pemain paling senior di JDT Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak yang menyarung bersama sejak 2013 juga akhirnya berpisah, diikuti S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri dan Adam Nor Azlin.
Dua pemain import berpengaruh, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab.
Lima lagi pemain iaitu Oscar Arribas, Muhammad Syafiq Ahmad, Muhammad Safawi Rasid, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Muhammad Haziq Nadzli juga tidak akan bersama pasukan musim hadapan kerana bakal dipinjamkan ke kelab luar.