Tumpuan :
Sukan

JDT gah ke separuh akhir Piala Malaysia

Foto Facebook Johor Southern Tigers – Bergson da Silva meraikan jaringannya dengan rakan sepasukan semasa membantu JDT menewaskan Kelantan 5-0 di perlawanan kedua suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim.

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke peringkat separuh akhir dengan penuh bergaya menerusi agregat 8-0 selepas membenam Kelantan FC 5-0 dalam aksi kedua suku akhir malam ini.

Skuad bimbingan Hector Bidoglio itu yang sememangnya diramal tidak bermasalah mengenepikan cabaran pelawat di Stadium Sultan Ibrahim tampil garang di separuh masa pertama dengan mendahului 5-0.

The Red Warriors dilihat berjaya mengekang tuan rumah dengan hanya ketinggalan menerusi gol pembukaan Bergson da Silva minit ke-12, namun tiba-tiba hilang tumpuan di baki 10 minit terakhir separuh masa pertama.

Bergson melengkapkan hatrik menerusi dua gol pantas minit ke-35 dan 37 permainan sebelum Muhammad Syahmi Safari menjadikan kedudukan semasa 4-0 minit ke-40 disusuli penyudah Muhamad Nazmi Faiz Mansor sejurus sebelum rehat.

Cengkaman Harimau Selatan berkurangan di separuh masa kedua dengan anak buah Rezal Zambery Yahya berhempas pulas mempertahankan gawang daripada terus ditembusi.

Kemenangan besar itu membolehkan JDT mara ke fasa empat terbaik dan menanti satu lagi pemenang suku akhir sama ada Sabah FC ataupun Kuching City.

Loading...
Terkini