![](https://media.buletintv3.my/2023/12/L3dRc5CQ-BULETIN-TV3-50.jpg)
KELANA JAYA: Persiapan pasukan kebangsaan menuju ke Piala Asia 2023 nampaknya ditambah dengan kehadiran muka baharu pada hari ketiga siang tadi.
Pemain muda dari skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Harith Haikal Adam Afkar dilihat turut bersama-sama dengan pemain senior di padang latihan Wisma FAM yang dikendalikan jurulatih Kim Pan Gon.
Pemain pertahanan itu baharu sahaja pulang dari tugasan antarabangsa pasukan B-23 di China semalam yang menyaksikannya menjaringkan gol kemenangan barisan bimbingan Juan Torres Garido 1-0 pada aksi persahabatan pertama menentang skuad tuan rumah Sabtu lalu.
Difahamkan, Harith Haikal dipanggil ke kem pasukan kebangsaan sebagai pemain pelatih ‘sparring’ sementara mengisi ketiadaan dua pemain Dion Cools dan Endrick Dos Santos.
Malaysia ketika ini sudah mengumumkan senarai 26 nama yang bakal melengkapkan skuad penuh membawa cabaran ke Piala Asia di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari depan.
Harimau Malaya dijadual mengadakan persiapan di tanah air sehingga Sabtu ini, sebelum berlepas ke Doha Ahad nanti.
Lawan menanti skuad negara di kumpulan E ialah Jordan 15 Januari, Bahrain lima hari berikutnya dan yang terakhir Korea Selatan pada 25 Januari.
Juara dan naib juara 16 kumpulan layak ke pusingan kalah mati, manakala empat pasukan tangga ketiga terbaik turut diberikan slot kemaraan.