Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK – Harimau Malaya uji Jordan

Hamidin (kiri) bersama Putera Ali Al Hussein dalam pertemuan di Amman, Jordan.

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berpeluang menguji pasukan di ranking ke-84 dunia, Jordan susulan kerjasama hasil pertemuan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Jordan (JFA), semalam.

Bukan setakat pasukan senior malah Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan skuad daripada pelbagai lapisan usia turut sama berpeluang berentap dengan pasukan dari Asia Barat itu.

Selain itu, pertemuan antara FAM dan JFA yang dihadiri Presidennya, Putera Ali Al Hussein di Amman itu turut membincangkan mengenai pembangunan bola sepak Malaysia terutama bola sepak wanita dan akar umbi yang perlu diberi lebih penekanan dengan beberapa pendekatan strategik.

Malah, kedua pihak juga berkongsi pandangan dan potensi kerjasama dua hala dalam bola sepak bukan saja antara Jordan malah antara negara Asia Barat di bawah Persekutuan Bolasepak Asia Barat (WAFF).

“Terima kasih kepada Putera Ali yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Jordan.

“Kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan dengan Jordan merangkumi semua peringkat umur, termasuk skuad kebangsaan wanita, futsal dan bola sepak pantai di bawah kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nanti.

“Saya optimis perbincangan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” kata Hamidin.

Pada dasarnya kedua-dua pemimpin menyambut baik cadangan supaya hubungan kedua-dua negara, Malaysia-Jordan dan juga Asia Barat dinaikkan taraf ke peringkat yang lebih komprehensif. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini