comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Harimau Malaya azam kutip mata dari lawan Jordan dan Bahrain

Datuk Hamidin (tengah) bersalaman dengan bekas jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe yang kini membimbing Selangor FC di Majlis Hari Raya Aidilfitri 2023 FAM-MFL-AFL. – FOTO: NSTP

KELANA JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap pasukan kebangsaan tidak pulang dengan tangan kosong dari Qatar apabila kembali membuat penampilan di pusingan akhir Piala Asia tahun depan.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut berada di Doha semasa majlis undian menyaksikan Malaysia diletakkan bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain di kumpulan E mahukan skuad negara membuat kejutan.

“Harap Harimau Malaya dapat lakukan sesuatu khususnya semasa menentang Jordan dan Bahrain, walaupun kita tahu rankingnya lebih tinggi,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2023 FAM-MFL-AFL di Wisma FAM.

Ini kerana beliau menyifatkan Korea Selatan bukan lagi bertaraf Asia sebaliknya berkelas dunia.

Justeru, Malaysia perlu berwaspada dan cuba mengutip mata ketika bertemu dua lagi pencabar tersebut yang boleh membantu pasukan meloloskan diri dikalangan 16 negara ke pusingan kedua.

Demi memastikan Harimau Malaya dapat memberi saingan di Doha tahun depan, pihaknya sudah mengatur jadual persiapan bermula Jun sehingga Januari.

“Harapan kita yang mustahaknya ialah ketika menentang Kepulauan Solomon dan Yaman, kemudian mungkin akan pergi China pada September dan satu negara lagi yang belum boleh ditetapkan,” jelas beliau lagi.

Pan Gon bergambar bersama jurulatih-jurulatih pasukan kebangsaan yang akan mengambil bahagian di pusingan akhir Piala Asia 2023 di Doha minggu lalu. – FOTO: Football Association of Malaysia/ Facebook

Barisan bimbingan Kim Pan Gon turut beraksi pada Pesta Bola Merdeka yang bakal disertai Palestin, India ataupun Lubnan di sini.

Selepas itu, tugasan antarabangsa mereka pada November diisi dengan pusingan kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia berikutnya.

Sebelum membuka tirai kempen sebenar dari 12 Januari hingga 10 Februari depan, skuad negara sedang memujuk Australia bermain dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil seterusnya dijadual berdepan Oman di Doha.

Malaysia akan memulakan saingan kumpulan E menentang Jordan 15 Januari di Stadium Al Janoub, Al Wakrah yang merupakan venue Piala Dunia 2022.

Lima hari kemudian Bahrain menanti di Stadium Jassim bin Hamad, Doha manakala perlawanan terakhir pula berdepan Korea Selatan pada 25 Januari di Stadium Antarabangsa Khalifa, Al Rayyan yang turut melangsungkan aksi Piala Dunia tahun lalu.

Loading...
Terkini