KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini memuktamadkan penganjuran Piala Asia 2023 dengan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) mengenai saingan yang ditetapkan pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024.
Saingan berprestij di Asia itu akan mengambil tempat di lapan stadium dengan enam daripadanya ialah venue Piala Dunia 2022 iaitu Stadium Al Janoub, Stadium Al Bayt, Stadium Ahmed Bin Ali, Stadium Al Thumama, Stadium Education City dan Stadium Antarabangsa Khalifa.
Dua lagi gelanggang yang akan digunakan ialah Stadium Jassim bin Hamad dan Stadium Abdullah bin Khalifa.
Ia kali kedua disertai 24 pasukan selepas dikembangkan pada edisi sebelumnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.
AFC yang bermesyuarat dengan LOC menjelaskan edisi ke-18 ini akan memaksimakan kelebihan bermain di hari pembukaan pada Jumaat dengan aksi akhir dijadual Ahad demi memberikan pengalaman dan pembabitan penuh penyokong.
“Kami tahun LOC dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) akan mementaskan acara sebenar yang tidak pernah dirasai dalam sejarah bola sepak Asia,” jelas Presiden AFC Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa.
Beliau menambah umum sudah menyaksikan sendiri QFA dan pihak berkuasa negara tersebut mengendalikan Piala Dunia FIFA terbaik pernah dilakukan dalam sejarah moden justeru percaya mereka akan mempamerkan keupayaan menerusi infrastruktur dan kemudahan yang menguntungkan pasukan, pemain dan penyokong.
Piala Asia 2023 dijadual selama 30 hari, mengatasi 28 hari yang dilangsungkan sebelum ini di UAE sebagai menambah aspek pertandingan dan komersial.
Undian kumpulan kesemua pasukan yang telah melayakkan diri ditetapkan pada 11 Mei di Doha beserta pengumuman maklumat rasmi jadual selepas itu.
Malaysia kendalian Kim Pan Gon menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir secara merit dengan kali terakhir beraksi di pentas berkenaan ialah sewaktu menjadi tuan rumah bersama tiga lagi negara Indonesia, Thailand dan Vietnam pada 2007.