
IPOH: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melebarkan rekod cemerlang pada tahun 2023 dengan memenangi kesemua perlawanan setakat ini.
Harimau Selatan menewaskan Perak FC 5-0 membolehkan anak buah Esteban Solari mengukuhkan kedudukan pendahulu selepas tujuh aksi.
Ia menemukan dua pasukan berbeza taraf di Stadium Perak, ketika tuan rumah melayani kunjungan juara 9 kali itu.
Seawal minit kelima lagi Bos Gaurus ditimpa nasib malang apabila Hasnul Zaim Zafri tertolak bola ke gawang sendiri membolehkan lawan mendahului.
Minit ke-25, Perak FC sekali lagi dihukum selepas melakukan kekasaran dalam kotak penalti menyaksikan giliran Leandro Velazquez menjaringkan gol kedua pasukan.
Separuh masa pertama berkesudahan pelawat berada di hadapan 3-0 hasil penyudah Diogo Luis Santo minit ke-45.
Barisan muda bimbingan Datuk Lim Teong Kim yang bergelut menangani penguasaan JDT kemudian melepaskan dua lagi jaringan pada babak berikutnya.
Hasil gol penyerang gantian Bergson Da Silva minit ke-66 sebelum Velazquez menambah derita tuan rumah dengan gol kelima pada masa kecederaan.