LONDON: Legenda bola sepak England dan Manchester United, Bobby Charlton meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Berita itu dikongsi keluarganya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Charlton adalah anggota skuad England yang menang Piala Dunia 1966, selain melalui era kegemilangan di peringkat kelab bersama United, yang bergelar kelab England pertama menang Piala Eropah pada 1968.
“Ia berita yang menyedihkan untuk kami kongsikan bahawa Sir Bobby meninggal dunia dengan tenang pada awal pagi Sabtu. Dia dikelilingi keluarganya,” kata kenyataan yang mewakili keluarga Charlton.
Kejayaan Charlton menjulang Piala Eropah di United hadir 10 tahun selepas nahas udara Munich, ketika dia dan pengurus pasukan, Matt Busby terselamat namun mengorbankan lapan rakan sepasukan Charlton.
“Manchester United berkabung selepas kematian Sir Bobby Charlton, seorang daripada pemain terhebat dan paling disayangi dalam sejarah kelab kami,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.