Tumpuan :
Sukan

Bintang muda biliard, Afiq Saiful maut nahas di lebuhraya

PETALING JAYA: Arena sukan biliard negara dikejutkan dengan berita kematian bintang remaja, Afiq Saiful Bahari, 13, dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi semalam di Seremban.

Memetik laporan FMT, Afiq meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Lekas jam 2.50 pagi, selepas kereta Honda City yang dinaikinya terbabas ke dalam longkang.

Ketua Polis Seremban Arifai Tarawe berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta yang dinaiki lima penumpang termasuk pemandu berusia 21 tahun hilang kawalan ketika di selekoh sebelum terbabas ke dalam longkang.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan penumpang yang lain dirawat Hospital Tuanku Jaafar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut mentor Afiq, Farhan Alyas, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas pertandingan biliard di Senawang.

Katanya, pemergian Afiq adalah satu kehilangan besar dalam sukan biliard negara kerana pemain muda itu sedang meningkat naik untuk menjadi pemain profesional.

“Saya baru menemani Afiq ke satu pertandingan di Shah Alam pada minggu lalu di mana dia muncul juara dengan menewaskan lawan yang lebih tua daripadanya.

“Afiq memenangi pelbagai pertandingan di peringkat tempatan dan kali pertama bertanding di peringkat antarabangsa di Vietnam pada tahun ini.

Saya sangat sedih dan hilang kata-kata kerana Afiq memiliki masa depan yang cerah dalam sukan ini,” katanya.

Katanya, Afiq mula terbabit dengan sukan biliard sejak berusia lapan tahun.

Loading...
Terkini