Tumpuan :
Sukan

Berita baik, rakan sepasukan saya dipanggil sertai Harimau Malaya – Josue

Paulo Josue – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi Paulo Josue, menganggap satu khabar gembira apabila rakan sepasukannya Romel Morales  dari Kuala Lumpur (KL) City, dipanggil memperkuatkan Harimau Malaya menghadapi Piala Asia yang dijadual berlangsung di Doha, Qatar, bulan depan.

Josue pemain kelahiran Brazil berharap, Morales penyerang yang berasal dari Colombia itu akan memainkan peranan penting  pada kempen Piala Asia yang kali terakhir menyaksikan penampilan Malaysia pada 2007.

Josue pemain tengah berusia 10 tahun dan Morales, 24, dianggap memiliki keserasian yang amat jitu merencana kejayaan KL City, yang paling dingati pada 2021 ketika menjuarai Piala Malaysia mengejutkan kelab gergasi tanah air Johor Darul Ta’zim,JDT.

Mereka juga memainkan peranan penting ketika KL City muncul naib juara Piala AFC pada 2022 dan Piala FA 2023.

“Sesuatu yang menggembirakan mendapat tahu Morales disenaraikan Kim Pan Gon memperkuatkan skuad kebangsaan, dia boleh menggelecek, mengawal bola dan melakukan jaringan,” kata Josue yang telah menjaringkan empat gol dalam lapan penampilan bersama Harimau Malaya.

Romel Morales – Foto: NSTP

“Morales masih muda, masih mempunyai masa panjang dalam tempoh lapan hingga 10 tahun untuk mencapi kemuncak kerjayanya,” ujar Josue.

Pan Gon mengekalkan  22 pemain yang beraksi pada kelayakan Piala Dunia / Piala ketika menentang  Kyrgyzstan dan  Taiwan bulan lalu dan selain Morales, jurulatih dari Korea itu turut menyenaraikan dua pemain JDT,  Syamer Kutty Abba dan  Natxo Insa, bersama  Ahmad Khuzaimi Piee.

“Kita  tak rugi apa-apa untuk bersaing pada Piala Asia, tiada tekanan kerana kita tahu di mana kedudukan kita yang pasti kita akan berjuang habis-habisan untuk mencipta kejutan ke atas pasukan-pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi,” kata Josue.

Pada kempen Piala Asia, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan yang berada di kedudukan ke-87 dunia, Bahrain (86) dan Korea Selatan (23).

Sebagai rekod Malaysia berada di kedudukan ke-130 dunia.

Loading...
Terkini