
KUALA LUMPUR: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva mencetuskan pelbagai spekulasi di kalangan peminat bola sepak tempatan selepas meletakkan bendera Malaysia pada profil Instagram miliknya.
Tindakan pemain berusia 34 tahun itu menimbulkan andaian bahawa dia mungkin telah memperoleh status sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya.
Bagaimanapun, masih belum ada pengesahan rasmi sama ada pemain kelahiran Brazil itu sudah mendapat status pemain naturalisasi atau sebaliknya.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail memaklumkan bahawa Bergson bersama tonggak Sri Pahang, Manuel Hidalgo antara calon naturalisasi Malaysia.
“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek selepas beraksi lima tahun di Malaysia,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Seandainya benar Bergson sudah mendapat status pemain naturalisasi, ia menjadi nilai tambah bagi skuad kebangsaan terutama Harimau Malaya sebelum ini dilihat berdepan masalah di bahagian serangan.
Malah, kehadirannya pasti menguatkan lagi skuad kendalian Peter Cklamovski yang ketika ini juga sedang dalam proses mendapatkan sentuhan beberapa pemain warisan dari luar negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.