Oleh: Saiyed Ismail
KOWLOON: Aksi pusingan kedua badminton Terbuka Hong Kong menyaksikan tersingkirnya beberapa pemain negara.
Daripada 10 wakil yang meneruskan saingan bertempat di Hong Kong Coliseum, setakat ini beregu wanita Pearly Tan/ M. Thinaah yang lepas ke suku akhir.
Pilihan ketiga itu mengenepikan tentangan tuan rumah Lui Lok Lok/ Tsang Hiu Yan 21-16, 21-14 dalam masa 30 minit.
Goh Sze Fei/ Nur Izzuddin Mohd Rumsani tumpas kepada gandingan baharu Indonesia Muhammad Shohibul Fikri/ Daniel Marthin.
Mereka yang kini bergelar pasangan profesional menang 21-16 di set pertama, namun membenarkan lawan bangkit 21-19 dan 21-13 dalam pertarungan selama sejam.
Dua lagi beregu lelaki profesional terpaksa akur kepada lawan yang lebih handal menyaksikan, Lim Tze Jian/ Wong Tien Ci disingkirkan jaguh Korea Selatan Kang Min Hyuk/ Seo Seung Jae 9-21, 21-23.
Sementara Nur Mohd Azriyn Ayub/ Tan Wee Kiong juga kecundang dalam permainan tiga set 21-18, 13-21, 17-21 kepada Chiu Hsiang Chieh/ Wang Chi Lin dari Taiwan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.