PHNOM PENH: Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 33 pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 hari ini sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirainya pada Jumaat.
Emas yang ditunggu-tunggu itu disumbangkan gandingan Chee Chaoming- Brady Chin menerusi acara beregu ping pong lelaki (kelas 9- masalah keseimbangan ringan).
Pada perlawanan akhir itu, mereka menundukkan pasangan Filipina Linard Combras dan Benedicto Hernandez 11-8, 11-7, 11-8.
Terdahulu, emas ke-32 disumbangkan atlet olahraga Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi menerusi acara 400 meter lelaki (T20- kecacatan intelektual).
Majlis Paralimpik Malaysia sebelum ini menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada penampilan di Kemboja. – BERNAMA