comscore
Tumpuan :
Sukan

Beregu negara tidak ‘patah hati’ mahu teruskan misi

Foto: BADMINTON PHOTO

KUALA LUMPUR: Selepas kecewa di Denmark, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu memberi tumpuan penuh kepada pemburuan bagi memenangi gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia.

Pasangan nombor enam dunia itu akan kembali ke gelanggang apabila beraksi di Terbuka China yang bermula Selasa ini.

Bagi Wooi Yik, walaupun gagal mempertahankan gelaran dunia selepas terkandas di separuh akhir, namun masih ada petanda positif terutama selepas berjaya mengakhiri badi kekalahan di tangan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Selepas tewas tiga kali berturut-turut, Aaron-Wooi Yik berjaya menyingkirkan lawan berkenaan ketika aksi suku akhir.

“Sudah tentu kemenangan itu meningkatkan lagi tahap keyakinan kami, ia membuatkan kami lebih percaya terhadap kemampuan kami sendiri. Saya harap kami boleh kekalkan momentum ini.

“Apa yang berlaku di Kejohanan Dunia, kami anggap ia sebagai satu proses yang perlu kami lalui. Namun, kami berjanji dalam mana-mana kejohanan kami sertai, kami akan beri yang terbaik.

“Walaupun kami mahu meraih gelaran pertama (dalam Jelajah Dunia) tetapi kami tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya. Kami harap boleh pergi separuh akhir dan final terlebih dahulu…tidak mahu fikir juara dulu,” kata Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan membuka tirai kempen di Terbuka China menentang pasangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Kim Won Ho pada aksi pusingan pertama.

Jika menang, mereka diramal bertemu pasangan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong di pusingan kedua.”Sebenarnya undian untuk mana-mana kejohanan pun sama saja.

Memang tidak senang, semua beregu sekarang ada kekuatan seimbang. Jadi, kami perlu buat persiapan terbaik,” kata Aaron.

Loading...
Terkini