KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark awal pagi tadi yang menyaksikan mereka terlepas peluang mempertahankan gelaran dunia diraih tahun lalu.
Aaron-Wooi Yik tewas di tangan gandingan keenam dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-23, 13-21 di Royal Arena untuk pulang dengan pingat gangsa namun menegaskan tumpuan utama mereka kini beralih ke Sukan Asia Hangzhou, bulan depan.
Aaron berkata, Min Hyuk-Seung Jae beraksi lebih baik dengan menunjukkan tambahan keyakinan berbanding mereka.
“Ketika set pertama, kami mendahului tiga atau empat mata. Begitupun pada ketika mata penting, saya rasa kami perlu belajar untuk tenang dan lebih fokus kerana boleh dilihat kami mempunyai peratusan lebih untuk menang di set pertama tetapi kalah.
“Saya fikir, yang lepas biarlah lepas. Sekarang kami sedang melakukan persiapan untuk Sukan Asia. Itu sasaran utama seterusnya,” kata Aaron.
Dalam pertemuan sulung dengan gandingan dari Korea Selatan itu, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia memulakan perlawanan dengan baik apabila mendahului 19-15 namun Min Hyuk-Seung Jae mempamerkan semangat juang tinggi untuk menafikan kemenangan mereka.
Min Hyuk-Seung Jae tidak menoleh ke belakang pada set kedua untuk melakar kemenangan dan juara Terbuka Australia dan Masters Malaysia 2023 itu dijadual bertemu pilihan ke-11 kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada perlawanan akhir malam ini.
Tahun lalu Aaron-Wooi Yik muncul selaku pemain pertama negara meraih gelaran dunia di Tokyo, Jepun selepas menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.