KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei semakin hampir untuk meraih gelaran kedua mereka pada musim ini apabila mara ke pentas final Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022.
Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan, menewaskan gandingan Thailand, Kittipong Imnark-Ornnicha Jongsathapornparn 21-16, 21-14 pada aksi separuh akhir di Arena Badminton Perak, Ipoh hari ini dalam tempoh 26 minit.
Untuk pertemuan final esok, mereka dijadual bertemu rakan senegara samada Roy King Yap-Valeree Siow yang diletakkan sebagai pilihan kedua ataupun Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing.
Tang Jie-Ee Wei yang baharu digandingkan bersama sebelum ini berjaya meraih gelaran pertama pada Cabaran Antarabangsa Bangladesh di Dhaka, minggu lalu.
Untuk rekod, Tang Jie sebelum ini digandingkan bersama Peck Yen Wei manakala Ee Wei dengan Pang Roon dan perubahan dilakukan Pengarah Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky kini tampak membuahkan hasil.