CHANGZHOU, CHINA: Gandingan campuran negara mara ke separuh akhir Badminton Terbuka China selepas menundukkan beregu Taiwan Ye Hong Wei dan Lee Chia Hsin pagi tadi.
Pembuka tirai perlawanan di gelanggang 2, Tang Jie dan Ee Wei mengatasi tentangan sengit lawan pada aksi yang berlarutan ke set penentuan.
Bermula garang pada set pertama membolehkan Tang Jie dan Ee Wei menang 21-15.
Namun beregu Taiwan tidak mudah mengalah apabila bangkit untuk mengheret perlawanan ke set ketiga menerusi kemenangan 21-13.
Set penentuan lebih sengit, dan pasangan negara tidak menoleh ke belakang lagi untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan kemenangan 21-16 menamatkan saingan yang memakan masa 55 minit.
Menanti Tang Jie dan Ee Wei pada separuh akhir esok, sama ada beregu Jepun, juga pilihan kedua, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino yang sedang bertarung menentang pilihan ke-8 dari Belanda Thom Gicquel dan Delphine Delrue.