KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia, (MOM) memaklumkan belum ada ketetapan mengenai atlet pembawa Jalur Gemilang pada Temasya Olimpik 2024 di Paris, Julai hadapan.
Menurut Presiden (MOM), Tan Sri Mohd Norza Zakaria, perbincangan belum dilakukan dan ianya masih terbuka kerana semua pemegang taruh sukan negara masih menantikan senarai penuh barisan atlet yang akan membarisi kontinjen Malaysia nanti.
“Kita tidak mempunyai saiz kontinjen yang besar, proses itu lebih kepada simbolik, kita nak atlet-atlet kita fokus, taknaklah sebab flag handling ceremony, semua nak kena tunggukan, I think the most important thing is that the atlet ataupun persatuan semua telah membuat perancangan mereka yang terdahulu,” kata Norza.
Berdasarkan status terkini yang dibuat Majlis Sukan Negara (MSN), kontinjen Malaysia dijangka akan dibarisi maksima 25 atlet sahaja.
Senarai penuh atlet negara ke Paris hanya diketahui 30 jun ini apabila semua saingan kelayakan dan juga pemilihan atlet ‘wild card’ dimuktamadkan.
Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual membuka tirai pada 26 Julai nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa